Taklimat Akademik NIC Di PUSPEN

Taklimat Akademik NIC Di PUSPEN 1

Pada 19 Julai 2024, satu taklimat mengenai peluang belajar di National Integrated College (NIC) telah diadakan di Bilik Mesyuarat Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik Bukit Mertajam (PUSPEN BM) yang menyaksikan kehadiran YBrs. Puan Nur Farhana binti Md. Yusoff, Penolong Pengarah Pengurusan dan Keselamatan PUSPEN BM, Ketua Unit Pentadbiran PUSPEN BM, YBrs. Puan Fazlina dan barisan kakitangan PUSPEN BM.

Majlis telah dimulakan dengan ucapan aluan Penolong Pengarah Pengurusan dan Keselamatan PUSPEN BM. Beliau menekankan betapa pentingnya bagi kakitangan untuk mendapatkan diploma demi meningkatkan kerjaya mereka. Beliau juga menggesa semua kakitangan untuk mengambil peluang belajar di National Integrated College (NIC) yang menawarkan pelbagai program diploma yang relevan dan berkualiti.

Seterusnya, taklimat telah disampaikan oleh Ketua Eksekutif NIC, Encik Zuraimy bin Abd Ghani. Beliau memberikan gambaran menyeluruh mengenai misi dan visi program-program yang ditawarkan oleh NIC iaitu Diploma Pengurusan Sumber Manusia dan Diploma Psikologi.

Pengurus Pengajaran dan Pembelajaran NIC, Cik Farah Azuah, kemudian mengambil alih dengan penerangan terperinci mengenai fleksibiliti pengajian yang ditawarkan. Beliau menjelaskan bagaimana program-program ini dirancang untuk memudahkan para pelajar, terutamanya kakitangan PUSPEN BM, untuk meneruskan pengajian tanpa menjejaskan tugas harian mereka. Dengan teknologi pembelajaran terkini, pelajar dapat belajar dari mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa yang sesuai dengan mereka.

Majlis diteruskan dengan sesi perkongsian pengalaman belajar di NIC oleh 2 orang kakitangan PUSPEN BM iaitu Cik Siti Noorbaizura dan Encik Muhammad Ariff Hafizdul yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka di NIC. Untuk rekod, NIC telah melahirkan seramai 9 orang graduan Diploma Pengurusan Sumber Manusia dari PUSPEN BM.

NIC menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengurusan tertinggi PUSPEN BM yang menunjukkan sokongan penuh terhadap inisiatif ini. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen PUSPEN dalam memastikan kakitangan mereka mendapat peluang pendidikan yang berkualiti.

Kami berharap program-program ini akan memberi manfaat besar kepada semua peserta dan membantu mereka dalam mencapai kejayaan akademik dan profesional. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan taklimat ini.